PEJABAT SPA ADAKAN KURSUS PENGUKUHAN ISLAM: FIQH AS-SHALAH
Oleh: Wardah Binti Haji Ibrahim | Photo: Norazedah binti Sani
Rabu, 19 Feb, Kesibukan menuntut
ilmu tidak seharusnya dijadikan alasan untuk meringankan ibadah solat. Ibadah
solat adalah tiang agama. Bertitik-tolak atas keperluan ummah untuk mendekatkan
diri dengan tuntutan teras dalam agama, Pejabat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dengan
kerjasama Pusat Da’wah Islamiah telah mengadakan kursus jabatan (In-house
Taining) bagi pegawai dan kakitangan pejabat ini selama tiga hari bermula
pada 17hb Februari 2020 hingga hari ini, 19hb Februari 2020. Kursus Pengukuhan
Islam: Fiqh As-Shalah (Sembahyang) ini bertempat di bilik mesyuarat tingkat 1,
Bangunan Pejabat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.
Sehubungan ini, seramai 25 orang pegawai dan
kakitangan pejabat ini menyertai kursus berkenaan.


Adapun kursus selama tiga hari tersebut telah
disampaikan oleh Yang Mulia Ustaz Haji Imaharan bin Haji Metali, Pegawai
daripada Bahagian Penyebaran Dakwah (Kursus), Pusat Da’wah Islamiah.
Dalam kursus berkenaan para peserta didedahkan
mengenai pengertian sembahyang; rukun-rukun sembahyang dan sunat-sunat
sembahyang; perkara makruh dan perbezaan lelaki dan perempuan dalam sembahyang;
perkara-perkara yang membatalkan sembahyang; Sujud Sahwi, Sujud Syukur dan
Sujud Tilawah; sembahyang-sembahyang sunat; sembahyang berjemaah; Muafiq dan
Masbuq; Sembahyang Jumaat; Sembahyang Qasar dan Jama'; Sembahyang Orang Sakit;
menghalusi bacaan sembahyang dan lain-lain.
Antara manfaat yang diperolehi dari kursus ini
adalah bagi menghalusi dan memperluaskan lagi pengetahuan para peserta mengenai
solat; selain memberikan peluang kepada para peserta kursus yang hadir untuk mengemukakan
pertanyaan. Sesi soal jawab secara bersemuka itu diharapkan dapat memberikan
impak yang positif kepada para peserta dalam mengutarakan permasalahan
berkaitan fiqah dan hukum-hakam dalam solat.


Kursus diakhiri
dengan penyampaian cenderahati kepada Yang Mulia Ustaz Haji Imaharan bin Haji
Metali yang disampaikan oleh Yang Mulia Puan Hajah Dahliana binti Haji Aliakbar,
Setiausaha Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan seterusnya sesi bergambar ramai.
