Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
04.03.15 Sistem PSC cepatkan permohonan kerja




Sistem Public Service Commission (PSC) Recruitment akan membolehkan Pejabat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) memproses permohonan kerja dengan cepat dan berkesan.

Melalui sistem ini, dijangkakan tempoh selesai memproses pengisian jawatan kosong bermula dari tarikh buka iklan, proses perakuan, ujian, temu duga sehinggalah penyediaan kertas sokongan adalah kira-kira tujuh minggu.

Setiausaha SPA, Awang Salminan bin Haji Burut menyatakan perkara tersebut semasa Majlis Pelancaran Sistem PSC Recruitment yang berlangsung di Dewan Ujian, Pejabat SPA, di sini.

Terdahulu, Awang Salminan menjelaskan, sistem ini adalah satu kaedah baru bagi orang ramai termasuk warga Perkhidmatan Awam untuk membuat permohonan bagi mengisikan jawatan-jawatan kosong di bawah pengendalian SPA secara 'online' dan seterusnya bagi SPA memproses permohonan berkenaan juga secara 'online'.

Tambahnya, sistem yang mula dibangunkan pada bulan September 2014 ini, menggantikan Sistem Maklumat Perkhidmatan Awam (SIMPA) yang digunakan sejak tahun 1999 dan kini, sudah tidak lagi mampu untuk menampung pengendalian permohonan yang jumlahnya semakin meningkat setiap tahun.

Pada tahun lepas sahaja, ujarnya, SPA menerima kira-kira 165,000 permohonan dan proses pengambilan melalui SIMPA ini adalah bersifat 'semi-automated' dan memakan masa yang lama untuk diselesaikan.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis pelancaran tersebut ialah Pengerusi SPA, Pengiran Dato Paduka Haji Maidin bin Pengiran Haji Hashim.

Juga hadir ialah Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Awang Yahya bin Haji Idris dan Timbalan Setiausaha Tetap di JPM, Awang Adi Samsul bin Haji Sabli.

Pada majlis tersebut, Pengerusi SPA juga menyaksikan tayangan video dan pameran mengenai proses-proses dalam PSC Recruitment dan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan sistem tersebut yang dipersembahkan oleh Jawatankuasa Majlis.

Sementara itu para tetamu yang hadir juga berpeluang menyaksikan dan menyertai tunjuk cara mengenai proses-proses pendaftaran dan permohonan melalui sistem ini.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto


Attachments